Rabu, 25 Disember 2013

Refleksi Diri

Assalamualaikum wth..

Alangkah lamanya tidak menulis. Terasa sayang minat yang dahulunya ingin menjadi penulis sudah pun terkubur lama. Setelah bergelar graduan universiti, banyak perkara yang kadang kita rancang tetapi tak menjadi. Antaranya pekerjaan. Saya akui sekarang ni ramai graduan yang menganggur dan kadang-kadang mendapat pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelulusan. Selain itu, ada juga graduan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya selepas ketiadaan peluang pekerjaan. 

Namun apa yang ingin disampaikan bukanlah untuk melahirkan kekecewaan semata-mata tetapi sebagai refleksi diri atas apa yang terjadi dalam kehidupan ini. Saya merupakan graduan yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Hal ini saya lakukan kerana hampir setahun saya mencari pekerjaan tetapi belum dapat tawaran. Saya tak tau apa silapnya, tapi mungkin ketiadaan internet membuatkan saya lambat mendapat maklumat tentang jawatan kosong yang ditawarkan. Oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk menyambung master.

Saya menyambung master di universiti yang sama. Pada permulaan pengajian, saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Memang agak tertekan kerana saya mengambil sesuatu kursus yang saya tidak mampu menyelesaikannya. Saya tidak mempunyai background pengajian Islam yang tinggi cuma asas sahaja. Oleh sebab itu, saya banyak ketinggalan dalam kelas kerana perasaan rendah diri terhadap rakan-rakan yang lain. Saya sedar saya tak sepatutnya bersikap demikian namun saya melakukan kesilapan kerana ego dan sikap negatif saya. 

Lantaran dari kepayahan saya dalam menimba ilmu, saya memilih untuk bekerja part time, kononnya nak membiayai yuran hostel. Namun begitu, ia tidak mencukupi dan saya menjadi tidak fokus dalam pelajaran kerana keletihan dan kesempitan duit. Di samping itu juga, saya banyak mensia-sia masa yang patut saya gunakan untuk belajar kepada hal-hal yang remeh temeh. Pada masa ini juga, hubungan saya dan tunang diuji sekali lagi. Hampir setahun tidak mendapat khabar berita daripada tunang dan hal ini membuatkan saya menjadi lebih tertekan dan hilang minat dalam meneruskan pengajian. Walau bagaimanapun dengan sokongan dan bantuan yang tidak putus-putus daripada rakan-rakan sepengajian, akhirnya saya berjaya juga menyiapkan tesis master. Namun begitu, saya memang tak berapa puas hati dengan tesis ini kerana hasil daripada kerja saya yang kurang memuaskan. 

Pada akhir bulan sebelum viva, saya telah putus tunang. Hal ini membuatkan saya hilang arah namun tidak terlalu lama penderitaan ini kerana tunang merujuk kembali untuk menyambung perhubungan. Saya terima kembali dia kerana saya masih cintakan dia. Perhubungan kami kembali seperti dulu malah lebih erat lagi. Namun begitu, result master saya sedikit merundum dan pointer agak ke bawah berbandng rakan-rakan yang lain. Saya terima result saya kerana saya sedar ia adalah hasil daripada kesilapan saya sendiri. 

Oleh sebab itu, saya tidak mahu perkara yang berlaku semasa pengajian master berulang kembali sekiranya saya melanjutkan pelajaran ke phd. Saya sedar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi memerlukan persediaan mental dan fizikal yang cukup dan bukan hanya keinginan semata-mata. Selain itu, untuk berjaya juga saya perlu mengubah sikap saya yang negatif supaya ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan dan bukan hanya tertulis di kertas sahaja. Pada masa ini, saya mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan apa yang perlu saya lakukan untuk persediaan phd. 

Namun sekali lagi saya diuji apabila banjir besar melanda kampung saya dan menyebabkan semua buku yang boleh digunakan untuk phd terpaksa dibuang. Hal ini memang meruntun jiwa saya kerana hasil usaha mengumpulkan buku hilang begitu sahaja. Tetapi saya sedar satu perkara daripada kejadian ini iaitu buku hanyalah sekadar buku dan mempunyai koleksi buku yang banyak tidak menjamin tingginya ilmu seseorang. Saya sedar selama ini saya banyak bergantung kepada buku semata-mata tetapi saya tidak pernah memanfaatkan buku-buku tersebut menjadi sesuatu yang berguna untuk semua orang. Hal ini merupakan kesalahan yang paling besar bagi seseorang yang mempunyai kelulusan yang tinggi seperti saya. 

Sekarang saya masih lagi tidak tahu arah tuju. Saya masih berusaha untuk mencari pekerjaan. Saya berdoa kepada Allah supaya dapat memberi petunjuk untuk menghadapi kehidupan ini. Saya sedar diri ini banyak kelemahan tetapi saya tidak mahu kegagalan saya ini berulang dan berdoa semoga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Oleh sebab itu, saya akan menanam kembali minat penulisan dan berusaha untuk mengembangkan ilmu yang ada supaya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Semoga peristiwa yang berlaku ke atas saya dapat memberi ikhtibar kepada orang lain. Wassalam.

Tiada ulasan: